
Seorang warga tua maut akibat dipijak berulang kali di bahagian perut oleh anak lelakinya yang mengalami masalah mental di rumahnya di Kampung Tutuwon, Pitas dekat Kota Marudu, kelmarin.
Oding Lumping, 84, meninggal dunia akibat pendarahan dalam perut di Hospital Pitas, jam 10.45 pagi, tiga jam selepas dimasukkan ke hospital.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Deputi Superintendan Mohd Isa Yusof, berkata berdasarkan keterangan isteri mangsa, Iyong Malong, 61, suspek yang berusia 40 tahun pergi ke rumah mereka kira-kira jam 11.45 malam Jumaat lalu dan meminta parang.
Apabila Oding memaklumkan dia tiada parang, suspek naik angin dengan mencekik serta memukul ibunya di kepala.
“Selepas itu, suspek memukul bapanya sehingga jatuh dan memijak berulang kali di perut,” katanya.
Mohd Isa berkata, keesokannya pasangan itu pergi ke Hospital Pitas dan Oding meninggal dunia selepas dua jam menerima rawatan.
“Bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat cedera di bahagian saluran buah pinggang serta patah tulang rusuk kanan, manakala isterinya cedera ringan di kepala dan leher,” katanya.
Selepas menerima laporan polis yang dibuat oleh Iyong, sepasukan anggota dari Balai Polis Pitas bergegas ke Kampung Tutuwon dan menahan suspek bagi membantu siasatan.
Suspek direman tujuh hari mulai kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
Siasatan awal mendapati suspek adalah pesakit mental dan pernah menjalani rawatan di Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu.
No comments:
Post a Comment